Ahad, 14 Oktober 2012

ROTI SOSEJ GULUNG


 
Bahan-bahannya:

10 keping roti putih - dibuang tepinya
10 sosej ayam atau daging
1 biji telur - dipukul sedikit
secubit garam
sedikit lada sulah
serbuk roti secukupnya
minyak untuk menggoreng

Cara-cara Membuatnya:
Gelek roti hingga nipis atau leper
balut sosej dnegan roti yang telah leper atau digulungkan.
Potong lebihan sosej bahagian tepi supaya kemas
Masukkan garam dan serbuk lada sulah dalam telur. Celupkan gulungan roti tadi ke dalam telur.
 Salutkan atau golekkan roti yang sudah dicelup dengan telur ke dalam serbuk roti.
Goreng gulungan roti tadi ke dalam minyak yang telah dipanaskan. Pastikan gulungan roti ini tenggelam. Goreng sehingga ke kuningan keemasan.

Resipi ni aku copy paste dari group yahoo tapi aku dah cuba dan ianya memang mudah dibuat dan menyelerakan. Cubalah.

Sabtu, 13 Oktober 2012

Sambal Mangga Muda dan Masak Lemak Rebung

Hari ini cuti hari minggu aku hanya melakukan kerja rutin sebagai suri rumah. Hari minggulah peluang aku untuk mencurahkan tenaga sebagai suri rumah sepenuh masa dan mengelilingi kawasan rumah membelai pokok bunga di halaman.
Pagi hari lagi sekitar 7.08 pagi, papa telah berada di belakang rumah berkebun, merumput. Mengeluarkan peluh katanya. Aku pula selepas mencuci baju turut sama menjenguk dan mula menarik paip getah menyiram pokok bunga di halaman.  Pukul 8.30 pagi aku teringat aku ada berjanji dengan seorang ibu mengandung untuk memeriksa beliau. Tergesa-gesa juga aku berlari ke klinik.
Semasa aku sampai ibu itu telah berada di depan pintu menunggu dan kebetulan sudah ada kawan aku yang juga baru sampai. Dia beritahu telah menunggu aku dari pukul 8.00 pagi lagi. Aku meminta maaf atas keterlewatan itu dan meminta kawan aku yang memeriksa dia.
Setelah selesai hal kerja (Aku oncall sebenarnya), aku segera balik ke rumah. Aku meneruskan kerja berkebunku.
Aku memasukan semula 5 pokok bunga kertas, 2 pokok orkid, 1 pasu hydrangea dan 2 pasu pokok bunga kembang pukul sepuluh. Kerja berkebun aku selesaikan kira-kira jam 10.30 pagi
Kemudian aku bergegas mandi selepas berkebun dan seterusnya masuk ke dapur.
Termenung juga seketika di sinki dapur sambil memandang keluar,.. NAK MASAK APA YA HARI NI?

Aku teringat rebung yang telah dicincang yang aku beli dengan seorang pakcik beberapa hari lepas. Molek juga tu. Boleh aku masak lemah. Aku celur rebung tu dan masukkan secubit garam. Setengah jam celur rebung tu masih ranggup dan ianya amat menyelerakan.
Seterusnya plan nak masak lemak. Buka peti sejuk hanya tinggal sayur sawi sahaja. Hem..apalagi masak lemak ajelah..

 
Teringat resipi biasa yang aku pelajari dari bonda iaitu :

MASAK LEMAK REBUNG CAMPUR SAWI

Bahan-bahan:
Rebung Celur
Sawi di bersih dan di potong 1 inci
5 ulas bawang kecik/ bawang merah
3 ulas bawang putih
15 biji lada hitam
Santan
Gula
Garam

Cara Memasaknya:
Lada Hitam ditumbuk lumat. Bawang ditumbuk lumat atau rencah-rencah ikut suka masing-masing. 
Masukan semua bahan ke dalam periuk letak atas dapur dan aku lebih suka masukkan garam dan gula masa nak tutup api sebab tak nak bagi khasiat garam iodine tidak hilang. Panaskan hingga masak.

Resipi kedua ialah  Sambal Mangga Muda campur Ikan Masin.

Resipi ini dah macam-macam versi aku belajar. Samada dari bonda, teman-teman tempat kerja dari Perak, ke Pahang, Penang , Johor seterusnya ke Kelantan. akhirnya aku dah lupa resipi ini dari siapa sebenarnya. Ianya amat simple dan menjadi kegemaran aku dan keluarga terutama suami dan anakku Boboy.

Sambal Mangga Muda campur Ikan Masin.
Sambal Mangga Muda
Bahan-bahan:
2 biji mangga muda - Aku guna pauh epal yg diberi oleh Kak Su
2 ekor ikan masin sederhana - digoreng dan asingkan isinya
Gula
Garam
5 biji cili padi

Cara Membuatnya:
Mangga muda dikupas dan dipotong kecil agar senang menumbuknya. Berdentum-dentam lesung batu aku ketuk atas mozek kabinet meja memasak.
Ikan masin digoreng dan asingkan isi dan tulangnya. Kadang-kadang Kak Hawa (Johorian) lebih suka guna ikan bilis goreng. Kak Nah cikgu Mat Din pula suka guna ikan direbus. Terpulang kepada selera masing-masing.
Tumbuk lumat semua bahan di atas atau terpulang nak macam mana lumat atau separa. Gaul dengan gula garam dan siap untuk di makan. 

Grenti bertambah nasi bila ada masak lemak rebung dan sawi dengan Sambal Mangga Muda Ikan Masin. Aku lihat Encik Abe dan anak-anak pun bertambah nasi hinggakan Encik Abe aku tanya .." MAsak 4 pot pun tak cukup ke?"

Itulah penangan Sambal Mangga Ikan Masin dan Masak Lemak Rebung. Rebung celur juga enak dimakan cicah budu je. cubalah.

 

Khamis, 13 September 2012

SOTONG PEDAS


Nak masak apa petang ni ya? Buka peti sejuk macam-macam bahan ada. Mujurlah Encik Abe dah top-up bahan-bahan untuk dapur hari ini. Anak-anak merengek nak makan sotong. Si abang hendak makan sotong masak pulut. Si adik  dan si bongsu nak sotong masak lada. Encik Abe pula tersengih sahaja. Apa-apa ajelah janji petang ni makan beselera. Berlarilah aku ke tingkat atas membelek resipi kat internet. Ish..ish.ish banyak pula resepi kat internet. Pilih punya pilih dah sejam aku mengadap laptop ni. Aku pun copy paste resipi tu dan print lalu turun ke dapur. Setengah jam dah aku lencun siap sepinggan sotong yang tenggelam dalam sambal merah cili kering campur sos tomato. Mana perginya sotong tak nampaklah. Takpe- takpe.. kena usahakan belek sikit. Si abang pula cakap .." Itulah kalau mama masak pulut sotong kan senang nampak sekor-sekor. Ni sotong dah ler kecil potong bulat-bulat tenggelam dalam cili.." hahaha, ketawa aku dengar komen si abang.

Ini dia resipi Sotong Pedas sebenarnya.
 
Bahan
10 ekor sotong sederhana besar – buang kulit dan dakwat

Bahan kisar:
6 biji bwg merah
3 biji bwg putih
Belacan – dibakar
6 biji cili kering
2 biji cili merah

2 biji bwg besar – dihiris bulat
½ cwn air asam jawa
½ cwn santan pekat
1st gula
Garam dan serbuk perasa

Cara
Tumis bahan yg dikisar…kacau selama 3 min. hingga bau wangi.
Masukkan sotong dan kacau sebati
Kemudian masukkan santan pekat, air asam jawa, garam dan gula.

Isnin, 10 September 2012

Salad sebagai ulaman Iskina


Hidangan harian untuk keluargaku tidak lengkap tanpa ulam-ulaman. Aku, suami dan anak-anak merupakan penggemar ulaman mentah ataupun dicelur. Penambah perisanya makanan kegemaran wajib bersama nasi putih.. BUDU..
Timun, Jering dan Solok Lada
Bercerita pasal ulaman ni aku paling suka pucuk pegaga, ulam raja, petai, daun salad, daun selom, pucuk paku, pucuk ketereh aka gajus, pucuk betik celur, bendi celur dan apa sahaja sayuran hijau berdaun menjadi hidangan giliran wajib bagi kami sekeluarga.

Ulam Pegaga, Daun Salad dan Petai

Puteri kecilku dan si hero amat menggemari ulaman petai. Setakat bacin petai kat bilik tandas itu dah lali bagi kami. Encik Abe amat suka pucuk betik celur dan ulaman yang pahit-pahit termasuk pucuk beko, peria katak dan lain-lain lagi. 
Petai Celur, Bendi Celur dan Cili
Bercerita pasal salad aku terbaca kat internet pasal salad dan khasiatnya. Aku nak kongsi di sini apa yang aku dah baca tu.

Salad atau nama saintifiknya Lactuca Sativa bagus untuk dijadikan sebagai bahan utama sayuran mentah. Ia adalah penawar yang terbaik bagi mengatasi insomia (gangguan tidur). Cuba amalkan untuk memakan salad dengan kadar sekali sehari, anda akan mendapati tidur anda akan lebih tenang dan nyenyak. Salad kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potassium, vitamin A, vitamin C, magnesium dan zink.Ia mampu untuk mengurangkan stres dan menenangkan fikiran.
Salad juga mampu mengurangkan paras kandungan gula dalam badan, mencegah kanser, mengubati kencing manis, gout, penyakit jantung dan sistem penghadaman. Mengamalkan sayuran mentah dalam menu harian adalah langkah yang paling baik untuk mengekalkan kesihatan.

Salad baik untuk diet

Daun Salad mentah
Oleh kerana salad boleh mengurangkan paras kolestrol dan tekanan darah maka ia pilihan terbaik bagi diet yang sihat. Memandangkan salad sudah cukup berkhasiat untuk diet sihat, maka seeloknya jangan tambahkan perasa yang mengandungi lemak yang tinggi secara berlebihan. Penambahan mayonis, keju dan minyak zaitun perlulah dibuat dengan kuantiti yang sedikit.

Ciri-ciri diet salad yang baik
  • Elakkan penambahan bahan-bahan berasaskan tepung
  • Bataskan penggunaan bijirin
  • Pilih minyak zaitun dan makanan dan makanan yang kaya dengan khasiat omega 3
  • Jangan tambahkan gula di dalam hidangan salad
  • Pastikan makan buah-buahan sekali sehari
  • Kurangkan penambahan kekacang dalam hidangan salad
  • Elakkan penambahan makanan berlemak
  • Tambahkan sedikit khasiat protein seperti ikan, tenusu dan daging (pilihan)
 (sumber : Alaf 21)

Jom makan ulaman hijau... 

Ahad, 9 September 2012

Mee Sup Versi Iskina

 Aku teringat semasa aku form 4 n 5 aku tinggal ngn my step mom. Dia buka warung kecil jual mee berdekatan rumah. Setiap hari selepas balik sekolah aku menolong dia dekat warung. Masa tu sindrom 'Mee Soup' atau ada setengah orang panggil 'Mee Celup' belum merebak di kawasan aku ini. Mak aku ini plak dapat resipi dari kampungnya dan di bawa ke kawasan aku.
Semasa itu juga jualan mee sup ini agak popular juga sehinggakan setiap kali balik dari sekolah warung mak aku ni penuh pelanggan yang nak makan mee sup atau yang nak bungkus balik pun ada. Pada masa itu harga sepinggan mee sup hanya 50 sen sahaja semangkuk. Itupun dah di kira mahal gak tapi tetap laku. Ada juga yang minta separuh dengan harga 30 sen sahaja. Sebabnya harga segelas air sirap masa tu 20 sen. Aku juga bawak duit poket ke sekolah cuma 50 sen sahaja.
Bercerita pasal mee sup ini dia punya resipi bukan lagi rahsia sebab mak aku itu tidak pernah kedekut dengan ilmu yang dia ada.
Aku juga banyak belajar pasal resipi ini dan boleh dikatakan dah hafal ramuannya.
Selepas 15 tahun berlalu dan aku pun sudah bekerja dan langsung tidak terlibat dengan sebelok perniagaan makanan, aku hampir terlupa pasal resipi mee sup ini. Hari ini aku lihat di mana sahaja banyak kedai yang meniaga mee sup dan hampir semua kedai makan atau restoran, warung vs gerai yang aku singgah menjual mee sup ala-ala mak aku buat gitu. Sampaikan lidah aku sendiri sudah tidak tahu lagi yang mana lagi resipi asli mee ala-ala mak aku itu. Sepengentahuan aku ramai juga yang datang bertanya dan berguru dan juga yang mencuri rahsia resipi ini dengan mak aku itu. Ramuan resipi mee sup mak aku ini merebak ke serata kawasan. Sekarang ini harga mee ini di kawasan aku di antara RM2.50 sehingga RM4.50 semangkuk. Dah macam-macam versi termasuk versi bebola daging bakso...
Semasa aku praktikal di KB, aku telah berjumpa seorang teman sekolah lama. Selepas 15 tahun tidak bersua dia masih lagi menegur aku dan bercerita pasal kelazatan mee sup yang mak aku jual. Dia juga bercerita kepada teman-temannya kisah mee sup yang popular itu. Katanya lagi rasa mee sup yang mak aku buat itu tiada tandingannya. Dia amat rindukan rasa mee sup itu. Minggu terakhir jamuan perpisahan untuk pelatih diadakan meraikan staf yang benyak membantu semasa latihan praktikal di situ.
Setelah perbincangan dibuat, maka geng aku bersetujulah hendak memasak mee sup dan beberapa juadah lain.
Malam tu bergotong royonglah aku bersama geng NSM seramai 6 orang memasak mee sup dan kek keladi special kak yah. Hehehe masih lagi menjadi bila dikongsi ramai-ramai.
Di sini aku juga ingin berkongsi resipi Mee Sup aka Mee Celup… terpulanglah korang nak panggil nama apa pun. Tapi ini cara aku..


MEE SUP aka MEE CELUP

Bahan-bahan:
Sebungkus mihun dicelur dan toskan. (Masa dulu aku meniaga guna mee cap masjid. Sekarang ni ntahlah..)

Bahan Untuk Soup:
Tulang Lembu ( Mak aku suka guna kaki lembu).. Kalau nak guna tulang ayam pun boleh.
Sup Bunjut.
Air
Serai di titik

#Atau kalau takde sup bunjut aku guna ramuan campak-campak aku
5 kuntum bunga cengkih
5 biji buah pelaga
2 cm kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
15 biji lada hitam
3 ulas bawang putih  di ketuk
5 ulas bawang kecik/ bawang merah - di belah 4.
2 batang serai diketuk

Bahan Lain
  • Sawi jeruk masin yang dah di racik tu..
  • Kacang tanah goreng dan di tumbuk
  • Bawang Goreng
  • Minyak goreng bawang
  • Ikan bilis digoreng dan ditumbuk
  • Lada serbuk
  • Gula
  • Garam
  • Perasa
  • Limau nipis dipotong untuk perahan
  • Sayur guna ajelah kangkung, sawi
  • Daging/ ayam rebus yang dah di potong nipis. Aku suka racik halus
# semua bahan ni diguna semasa sesi menghidang sebelum disirami sup.

Cara-cara Memasaknya.
Aku biasa rebus tulang sehingga sampai 5-6 jam juga. Kerap kali tambah air bila dah nampak kering untuk dapat air tulang sejati.Semua bahan untuk sup dimasukkan bila tulang dah nampak lembut dagingnya.
Bila sup dah masak.
1.Ambil mangkuk isikan dengan mihun/mee/ maggi yang dah dicelur.
  1. Ambil 1/2 sudu the garam, 1/2 sudu gula, sedikit perasa, 1 sudu minyak bawang tadi, 2 sudu kacang goreng. 2 sudu sawi jeruk, 1 sudu ikan bilis tumbuk tadi, 2 sudu makan sayur sawi yang dah dipotong halus, 2 sudu makan daging ayam masak, sebiji telur pecahkan ke atas timbunan mee. Lepas tu siramkan dengan kuah sup.
  2. Jangan lupa taruk cili serbuk dan perah asam limau nipis. Gaul sebati dan selamat menikmati mee sup versi Iskina. Terangkat beb.

SESIAPA YANG CUBA RESIPI NI DAN MUNGKIN AKU ADA TERTINGGAL RAMUANNYA NANTI AKU CHECK SEMULA LAIN KALI. TOLONG BERI PENDAPAT YA.

Sabtu, 8 September 2012

Puding Jagung Tyra Iskina

Semalam aku teringat foto yang sudah berkurun dalam telefonku. Seminggu dua ini aku agak kelam kabut menyibukkan diri dengan majlis Hari Raya, Majlis Pertunangan dan kenduri kendara nikah kahwin sehinggakan aku rasakan aku sudah pakai baju yang sama lebih dari tiga kali. Pagi aku berbaju kurung menghadiri kenduri Si A, kemudian berkejar ke kenduri Si B dan seterusnya berlari pula ke majlis Si C. Penatkah? Agak penat juga. Kalau tak pergi apa pula kata orang yang menjemputnya... Aku sebenarnya nak selitkan cerita pasal handphone sony aka camera aku telah kehilangan chargernya. Aku tak pasti di mana aku telah menyelitnya kerana kesibukan mengemas rumah untuk hari raya sehingga keterlupaan di mana aku telah menyimpan charger telefon aku itu. Maka kisah seterusnya sehingga hari ini sudah seminggu bateri telefon aku itu kong. Akhirnya aku tidak dapat lagi mengambil gambar dan berfoto seperti biasa.
Di sini sebenarnya aku nak cerita pasal memori kad telefon tu aku upload gambar kat laptop dan aku baru perasan beberapa foto menarik yang aku snap dari dapur aku.
Meleleh air liur melihat foto puding itu.
Aku teringat resipinya yang aku main campak-campak cam biasa.
Meh aku kongsikan kat sini resipinya.

Puding Jagung Iskina
Puding Jagung Iskina
Bahan-bahan:
1 cawan susu cair
1 cawan jagung krim
1 cawan gula
1 cawan tepung kastard
1 cawan tepung jagung
5 cawan air
3 biji telur

Cara-cara Membuatnya :
1. Aku panaskan dulu kukusan atas dapur.
2. Bahan di atas aku campak sahaja semua dalam blender pastu blend sampai gebu. Lepas tu aku masukan dalam loyang kek dan kukus atas dapur.
3. Kukus berapa minit pun aku dah lupa tapi seingat aku lebih 15 minit juga menunggu. Itu pun aku kerap mengintai melalui tutup kaca kukusan.
4. Bila dah nampak macam meletup-letop comelnya aku tutup kukusan dan sejukkan.
5. Pasal hiasan aku memang tak kreatif langsung sebab tu aku tak hias. Tapi kaler kuning tu pun memang menarik keemasan.

Apa yang pasti anak-anakku dan encik Abe aku amat menyukainya. Boleh juga dijadikan hidangan minuman petang tapi keluarga aku memang makan tak kira masa. Kalau masuk ke dapur buka peti nampak masih ada puding adalah yang akan menghabiskannya.

Selasa, 24 Julai 2012

Masakan Awal Ramadhan

Tomyam Sempoi
Dah lama tak berbelog pasal masakan. Walau hari-hari masuk ke dapur tapi bila dah ber FB lupa plak pasal blog ini.
Juadah Hari Petama
Bulan Puasa ni aku masak apa yang terlintas di kepala sahaja.  Belajar mencuba resepi yang dah berkurun di dalam laptop dan bertanya dari bonda maka jadilah juadah berbuka dan bersahur yang enak-enak. Aku lihat Encik Abe dan anak-anak berselera juga makan. Hati aku pun puas bila mendapat jawapan dari jejaka itu.."Hem.. not bad.." Aku dah arif sangat bila si dia berbicara begitu. Hati aku juga menjadi kembang sekembang mawar di halaman rumahku.
Sambal Tempoyak Petai dan Kangkung Goreng Belacan

Hari Ke-2 Bendi Tumis Berlado


Pajeri Nenas

Kangkung Goreng Belacan

Puding Kramel Gula Hanguih

Ulam Daun Salad

Budu dan..
Selain daripada itu ada juga yang lawaknya apabila puding kramel yang aku buat menjadi pahit kerana terlebih masak gula hangus sehangusnya. Nak cepat aku guna juga maka pertanyaan anak-anak aku jawab.. hehehehe.. "Mama taruk peria ke dalam kuih ni?" ...

Sabtu, 9 Jun 2012

Jom Minum Petang

Butter Cheesecake

Kek Mentega atau Butter Cake adalah kek paling biasa dan digemari ramai. Pernahkah anda nikmati kek mentega yang berasa keju? Inilah kek paling gebu dan lembut. Anda pasti tidak akan jemu memakannya. Lemak dan harumnya begitu seimbang dan memikat. Ia juga tidak semanis kek yang lazim.

Bahan paling utama adalah mentega. Gunakan mentega bermutu tinggi dan harum baunya supaya kek wangi. Mentega jenis ini mengandungi lemak krim dan tiada campuran lemak sayuran seperti mentega yang lain. Mudah saja mengenalinya. Ia lebih mahal dan senang lembut bila diletak pada suhu bilik.

Sebaik-baiknya, potong sebuku mentega itu menjadi lapan bahagian. Dengan cara ini, ia akan lembut sekata dengan sempurna. Mentega yang tidak dipotong mengambil masa yang lebih panjang untuk menjadi lembut. Jika dapur anda agak panas, bahagian luar mentega mungkin bertukar menjadi cair (berminyak) dan ini boleh merosakkan tekstur kek.

Krim keju juga perlu dibiar pada suhu bilik supaya lembut. Jika tidak, ada bahagian yang tidak boleh sebati bila dipukul. Ketulan-ketulan kecil ini menghalang adunan daripada menjadi gebu sepenuhnya. Hasilnya kek tidak akan menjadi lembut dan ‘cair’ di dalam mulut. Inilah di antara ciri-ciri utama yang perlu diperhatikan setiap kali hendak menggunakan krim keju di dalam sebarang jenis masakan.

Oleh kerana kek yang mengandungi krim keju tidak tahan lebih daripada tiga hari, anda boleh masukkan sedikit bahan pengawet seperti potassium sorbate ke dalam adunan. Ia juga dikenali dengan anti-mould. Sukatan adalah mengikut sukatan berat semua bahan-bahan. Contohnya, jika bahan sebanyak 1 kilogram, gunakan hanya 10 miligram (anggaran secubit) bahan pengawet.

Untuk mengadun kek biasa, anda perlu memukul gula kastor bersama mentega. Namun begitu, untuk kek ini, langkah pertama adalah memastikan krim keju dan mentega gebu terlebih dulu. Ini adalah supaya kedua-dua bahan lemak (fat) ini benar-benar sebati dan memudahkan kek untuk kembang. Kemudian barulah dimasukkan sedikit demi sedikit gula sambil dipukul hingga kembang dan pucat warnanya. Ia kelihatan keputih-putihan dan ringan. Gula juga perlu hancur sepenuhnya. Kuning telur juga perlu dimasukkan sebiji demi sebiji dan dipukul rata setelah setiap kali.

Perlu diingat, semasa mengasingkan kuning dan putih telur, tangan anda hendaklah bersih. Mangkuk tempat meletak putih telur juga tidak boleh mengandungi sebarang kesan minyak. Begitu juga dengan pemutar elektrik (electric mixer). Bilas terlebih dulu dengan air panas kemudian lap kering-kering dengan kain bersih.

Jika ada kesan minyak (daripada marjerin atau lemak yang lain), putih telur yang dipukul tidak menjadi kental dengan sempurna. Ini juga satu sebab kenapa kek tidak naik dengan elok. Cara untuk memastikan putih telur sedia untuk digunakan adalah dengan menterbalikkan mangkuk. Putih telur yang cukup kental tidak akan mengalir keluar atau jatuh.

Jika sukar mendapatkan krim tartar, anda boleh gantikan dengan garam. Garam juga akan membantu putih telur menjadi kental. Sewaktu memasukkan tepung ke dalam adunan mentega, gunakan senduk kayu atau sudu keluli yang besar. Jangan masukkan sekaligus. Sebaik-baiknya, bahagikan tepung menjadi 6 bahagian. Masukkan satu bahagian, kacau rata sebelum tambah satu lagi bahagian.

Proses mencampurkan putih telur yang sudah kental ke dalam adunan dipanggil kaup balik. Caranya adalah membahagi putih telur kepada tiga bahagian. Masukkan 1/3 terlebih dulu dan kacau perlahan dengan spatula plastik. Tidak perlu memukul atau mengacau dengan laju (seperti memasukkan tepung).

Sebaik saja bahagian pertama sebati, campurkan 1/3 putih telur lagi dan kacau rata. Tujuan mengacau perlahan (dalam bentuk angka ‘8’) adalah supaya gelembung udara akan terperangkap di dalam adunan. Inilah yang akan menjadikan kek ringan dan gebu serta terlalu lembut dan enak.

Jika mahu, boleh bakar adunan di dalam mangkuk-mangkuk kertas. Pastikan mangkuk diletakkan di dalam tin ‘patty’ yang sama besar dengannya. Ini akan memastikan kek cantik setelah masak. Boleh juga gunakan mangkuk kertas yang sudah dikuatkan di sekelilingnya. Mangkuk seperti ini selalu digunakan untuk membuat cup cakes yang sungguh popular itu.

Suhu untuk membakar kek juga kurang daripada biasa kerana kandungan krim keju di dalamnya. Seperti biasa, cucuk dengan lidi hingga ke dasar untuk memastikan kek sudah masak. Kek seperti ini sesuai jika dihias dengan aising krim keju. Perhatikan bahawa sebuku krim keju seberat 250 gm dan anda hanya gunakan separuh saja. Jadi, bakinya boleh dipukul dengan gula aising serta sedikit jus lemon dan disapu sebagai aising.

Kek Mentega Keju170 gm mentega
125 gm krim keju
250 gm gula kastor
5 biji kuning telur
210 gm tepung serbaguna }
1½ camt serbuk penaik } diayak
2 camca teh vanila
5 biji putih telur
1/8 camca teh garam


Cara membuat
1. Putar mentega dan krim keju hingga kembang dan pucat warnanya.
2. Masukkan sedikit demi sedikit gula, pukul. Ulangi hingga habis.
3. Bubuh sebiji demi sebiji kuning telur, putar sebati.
4. Masukkan pula tepung, pukul perlahan. Tambah vanila.
5. Dalam mangkuk bersih, pukul putih telur hingga berbuih.
6. Masukkan garam, putar lagi. Bila kental, bubuh 1/3 ke dalam adunan tadi.
7. Kacau perlahan dan tambah lagi 1/3 bahagian. Ulang hingga habis.
8. Ratakan adunan ke dalam tin empatsegi 22 cm yang dialas kertas kalis minyak dan dilengser marjerin.
9. Bakar pada 170 C selama 1 jam atau hingga masak.
10. Keluarkan, biar atas redai 10 minit sebelum dikeluarkan dari tin.

Jumaat, 8 Jun 2012

Apa yang anda perlu tahu

Pemantap Kek

Apakah bahan di dalam ovalette @ Quick 75 @ Sponge Cake Stabilizer @ pemantap kek / span?

Bahan yang saya selidiki adalah produk Moody International dengan Logo Halal, diperbuat di Malaysia. Ia mengandungi sorbitol, pengemulsi, air, propylene gylcol, garam mineral dan pewarna yang dibenarkan.

Sorbitol -dikenali sebagai glucitol, adalah sugar alcohol yang diperolehi melalui proses mereduksi glukos (menukar dari aldehyde ke hydroxyl). Ia 'gula' tiruan yang selalu digunakan dalam makanan untuk diet dan aiskrim, gula-gula getah, gula-gula pudina dan ubat batuk. Dalam bentuk semulajadi dari buah-buahan berbiji keras (stone fruits) dan beri pokok.

Propylene glycol - kompaun organik yang tidak berapa manis, lutsinar dan pekat bersifat hygroscopic dan 'larut' dengan air, acetone dan kloroform. Ia diproses secara industri dengan kaedah hidrasi propylene oksid.

Assalamualaikum
Orang buat resepi, aku pun cuba. Orang ada blog aku pun nak sama. Lepas tu orang pandai memasak aku pandai makan aje.
Anyway blog ini aku titipkan istimewa untuk bondaku Rokiah Che Mahmood yang banyak mengajar aku dunia kehidupan wanita. Terima kasih ma atas ilmu masakan yang ma bagi. Walaupun aku tidak seteror ma dalam bab masakan tapi setakat goreng telur mata kerbau taulah sikit-sikit waaupun kerap kali pecah... Maklumlah aku sibuk sebagai wanita berkerjaya dan juga pelajar..Sampaikan dapur aku sendiri jarang berasap..Hobi aku kumpul resepi aje..
Terima kasih juga kat blogger yang sudi emailkan resepi kat aku. Terima kasih juga terutama kak chef norzai yang sudi izinkan aku copy paste dari laman beliau.